SELAMAT DATANG IKHWAN / AKHWAT PENGUNJUNG BLOG DAKWAH SALAFY. SEMOGA BLOG INI BERMANFAAT DAN ANDA MENDAPATKAN APA YANG ANDA PERLUKAN

Rabu, 27 Juli 2011

Istiqomah dalam Beribadah

Istiqamah secara umumnya bermaksud memberikan komitmen dalam melaksanakan sesuatu perkara dengan penuh konsisten dan dengan penuh kesungguhan. Atau dengan kata lain, istiqamah ialah ketetapan pendirian dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Kepentingan istiqamah dalam beribadah ialah mampu membentuk akhlak dan sahsiah atau keperibadian kita dalam kehidupan seharian. Jika kita tidak istiqamah dalam melakukan sesuatu ibadah, kita akan merasakan kekurangan dalam diri kita. Seperti hati tidak tenteram atau terasa kekosongan dalam diri. Perkara ini mudah terjadi terutama sekali apabila kita sudah berjaya istiqamah dalam beribadah kepada Allah SWT sebelum ini dan terputus dari istiqamah pada suatu ketika selepas itu. Hal ini kerana syaitan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk memusnahkan anak Adam sedikit demi sedikit dengan menjauhkan hamba Allah dari istiqamah dalam beribadah kepada Allah SWT.

Oleh sebab itu, dengan apa cara sekalipun. Kita perlu melawan segala kemalasan yang disebabkan oleh godaan syaitan yang ingin menjauhkan kita dari istiqamah dalam melakukan ibadah kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah S.A.W:
"Berteguh-hatilah kamu (istiqamahlah) kamu meskipun tidak akan mampu melakukan sepenuhnya. Ketahuilah bahawa bahagian terbaik dari agamamu adalah sembahyang, dan tiada seseorang yang memelihara wudhu’, kecuali orang yang beriman.” (HR Ahmad, Ibnu Majah, Al-Hakim dan Al-Baihaqi)


Dari keterangan hadis di atas, jelaslah bahawa kita diperintahkan agar beristiqamah dengan bahasa yang agak tegas. Ini jelas sekali terdapat hikmah yang AMAT HEBAT di sebalik perintah istiqamah.

Antara kelebihan istiqamah dalam melakukan ibadah kepada Allah SWT ialah:

- Mereka akan selalu didampingi oleh malaikat.

Beruntunglah mereka yang didampingi oleh malaikat apabila istiqamah dalam beribadah. Hal ini kerana, muslimin yang sentiasa didampingi oleh malaikat akan
sentiasa merasa tenang, gembira dan tiada khuatir, mereka akan sentiasa membuat kebaikan dan tidak akan bertindak mengikut hawa nafsu, wajahnya akan sentiasa berseri dan dia tidak akan mudah marah atau tersinggung.

-
Mereka tidak akan ada rasa takut.

Sebagai mana yang termaktub di dalam Al-Quran:


…janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu)…” (Surah Al-Fussilat: 30).

-
Mereka tidak akan berasa sedih.

Sebaliknya, mereka akan berasa gembira dan bahagia kerana hati mereka telah diisi dengan ketenangan dan ketenteraman akibat mereka istiqamah dalam beribadah. Mereka akan sentiasa redha dengan segala ketentuan Allah kepada mereka.

- Mereka akan mendapat balasan syurga di akhirat kelak.

Mereka yang istiqamah akan mendapat balasan syurga, sebagaimana firman Allah di dalam Al-Quran:

"…dan terimalah berita gembria bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” (Surah Al-Fussilat: 30)

-
Mereka akan dimurahkan rezeki.

Sesiapa yang istiqamah dalam kebaikan dan tetap dijalan yang benar, maka mereka akan mendapat rezeki yang melimpah ruah, sebagaimana firman Allah Ta’ala di dalam Al-Quran:

“(Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): Dan sesungguhnya sekiranya mereka (manusia dan jin) itu berjalan lurus di atas jalan (Islam) itu, sudah tentu Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar. (Pemberian yang demikian) supaya Kami menguji mereka dalam menikmati apa yang Kami berikan itu (adakah mereka bersyukur dan istiqamah menurut Islam). (Ingatlah) sesiapa yang berpaling daripada mengingati Tuhannya (dengan berlaku ingkar, maka) Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang amat berat.” (Surah Al-Jinn: 16-17)

Lihatlah betapa beruntungnya orang yang berjaya istiqamah dalam beribadah. Bagaimana dengan kita? Marilah kita mulakan beristiqamah. Bersama-samalah kita merebut peluang-peluang yang diberikan oleh Allah SWT. InsyaAllah. Semoga kita sentiasa mendapat rahmat dan keberkatan dariNya.

amin.


0 komentar:

Posting Komentar

Semoga kita bisa saling menasehati dalam kebaikan dan saling mengingatkan. Tawashou Bosshobri wa tawashou bil Haq